Sastera Kembara dalam Karya Bukhari Lubis
Kembara ialah satu perjalanan atau mengembara pergi ke mana-mana. Bertualang dan menjelajah juga tergolong dalam pengertian kembara manakala sastera pula adalah manifestasi artistik yang terasas dalam penggunaan kata pada bahasa tulisan atau lisan. Justeru, cantuman dua perkataan itu dengan sendirinya terbentuk istilah “kembara sastera” yang pada perspektif umum membawa makna suatu bentuk penulisan kreatif yang terhasil daripada pengalaman nyata pengarang yang menjejaki, melihat, merenungi dan menghayati sesuatu destinasi. Namun begitu, rumusan ringkas ini turut menimbulkan persoalan hiliran iaitu terdapatkah perbezaan antara bentuk penulisan sastera kembara dengan penulisan laporan pengembaraan?
Menurut Kamus Dewan (2005:731), pengertian kembara ialah pergi ke mana-mana dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui, disebut juga bertualang, menjelajah dan mengembara. Pengertian sastera pula diertikan sebagai pengunaan bahasa (bukan bahasa basahan) dalam karya seni berbentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu (Kamus Dewan, 2005:1396). Secara tuntasnya karya kembara sastera merupakan tulisan berbentuk prosa atau puisi perihal pengembaraan ke sesuatu tempat dengan menggunakan bukan bahasa bahasan yang menampilkan sesuatu yang istimewa pula.
Bertolak daripada premis ini, penulis ingin menelusuri pengembaraan Prof. Emeritus Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis (Bukhari Lubis) ke beberapa buah negara dan benua yang dijelajahinya atas sifat sebagai ahli akademik, mengerjakan ibadah umrah ataupun dalam konteks lawatan sambil belajar (LESBELA). Beliau banyak berjalan, luas pandangan yang menepati falsafah peribahasa Melayu terdahulu dalam mengungkapkan hikmah kembara. Gambaran dan pandangan beliau terhadap perihal pengembaraan yang dilaluinya dapat ditelusuri kerana setiap lawatan ke seberang laut itu diluahkan dalam karya kembara sastera.
Apa Itu Karya Kembara Sastera?
Karya kembara sastera terhasil apabila pengarang itu menjejaki sesuatu lokasi dan merakamkan pengalamannya ke dalam apa sahaja bentuk tulisan kreatif. Karya kembara sastera yang paling bermakna ialah buku kerana ia mampu merakamkan pengembaraan dalam tulisan dan foto secara menyeluruh berbanding esei, puisi mahupun cerpen. Di Malaysia terdapat beberapa buah buku bercorak kembara sastera yang penting dan popular dalam kalangan masyarakat sastera iaitu Warkah Eropah buah tangan Sasterawan Negara, A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991, Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin (Nisah Harun, ITBM: 2012) dan terbitan terkini berjudul Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair karya Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh (DBP: 2019).
Di Eropah pula antara buku kembara sastera tersohor ialah Journey To Portugal (Jose Saramago: 2000) dan Conquerors (Roger Crowley: 2015) manakala di Australia muncul The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) karya Meaghan Wison Anastasios. Banyak lagi naskhah berbentuk demikian di serata dunia, namun untuk tulisan ini memadai penulis mengemukakan ketiga-tiga buku tersebut sebagai rujukan dan cerminan.
Asas kemunculan karya tersebut ialah pengembaraan. Namun begitu, walaupun pada hakikatnya karya itu lahir berasaskan pengembaraan tetapi pandangan pengarang terhadap karya kembara sastera berbeza di antara satu dengan yang lain. Pandangan mereka rencam tetapi menjurus kepada hal ehwal pengembaraan. Mereka menyifatkan karya kembara sastera yang lebih bermakna dan berkesan ialah karya yang menampilkan sesuatu keistimewaan yang dilihat, didengar dan dialami oleh pengarang semasa dalam tempoh pengembaraan. Misalnya, Ralph Waldo Emerson yang menyimpulkan bahawa kembara itu adalah;
“Though we travel the world over to find the beautiful, we must carry it with us or we find it not.”
Malahan Muhammad Haji Salleh (2019:x) menyuarakan niatnya berkembara kerana mencari sesuatu. Katanya;
“Antara yang saya cari ialah seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya. Di Thailand, Jepun, Indonesia dan juga India. Mereka ini, secara tidak sedar menjadi alter ego saya, yang ingin saya jadikan contoh kejayaan untuk dipelajari daripada kehalusan dan keberaniannya. Saya mencari tamadun - sejumlah kejayaan pemikiran, seni dan sastera dan manusia contoh yang menjadi penunjuk jalan. Saya mencari segi dan kelainan yang selalu membuat saya gembira melihat inovasi dan ketajaman mata seni mereka.”
Justeru kembara sastera itu bukan sekadar mengunjungi sesuatu lokasi sebagai pelancong tetapi perlu seperti Muhammad mencari seni dan sastera yang terdapat di lokasi kembara untuk dijadikan penunjuk jalan. Selari juga dengan pandangan Jose Saramago bahawa “A book capable of offering a fresh way of looking, a new way of feeling. Jose Saramago ialah sasterawan Portugis dan pernah memenangi Nobel Prize of Literature pada tahun 1998. Novelnya Journey To Portugal telah diterjemahkan ke dalam 20 bahasa dunia dan beliau mengarang tidak hanya memaparkan cerita kenangan perjalanan yang dilalui tetapi menonjolkan sejarah dan budaya Portugis.
Malahan Meaghan Wilson Anastasios mengatakan The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) yang dihasilkannya adalah suatu kembara yang membongkar semula sejarah yang pernah dilalui Captain James Cook iaitu orang pertama yang belajar di lautan Pacific pada sekitar tahun 1768 lantas menjumpai benua Australia. Kata Meaghan menyebut;
“This has been a journey of discovery, a love letter to my part of the world. It’s the story of an ocean as much as a story of people. It’s as much abaut the present as it is abaout history. It’s as much abaout me, I suppose, as it is about Cook.”
Menyedari hakikat ini, karya kembara sastera itu tidak hanya terhad kepada tema penggembaraan semata-mata tetapi menjauh dan melebar sehingga berfungsi menyelonggar sejarah silam sebagaimana kisah pelayaran Captain James Cook yang telah ditinggalkan zaman kira-kira 250 tahun dahulu. Demikian juga Roger Crowley yang menulis Conquerors (2015) meletakkan sejarah sebagai tema karyanya yang menyangkut penerokaan laut dalam oleh pelayar Portugis bernama Vasco de Gama sehingga ke Timur Jauh (Far East). Novel Conquerors dipilih sebagai Sunday Times Book of the Year di London dan telah diulas oleh Michael Prodger dari Financial Times dengan menyebut bahawa;
Crowley has shown a rare gift for combining compelling narrative with lightly worn academic thoroughness ...The story he has to tell may be a thrilling one but not every historian could tell it so trillingly.
Pandangan yang dilontarkan oleh Michael Prodger yang tertera dalam petikan tersebut mengertikan bahawa penulis karya kembara sastera bukanlah seorang ahli sejarah namun begitu tidak bermakna dia tidak boleh menulis kisah sejarah dalam penggembaraannya, malahan nukilannya tentang sejarah seperti yang ditunjukkan oleh Crowley dalam Conquerors lebih mempesona dan mendebarkan pembaca.
Justeru tema sejarah boleh sahaja dijadikan landasan penulisan karya kembara sastera dengan mengaitkan siri penggembaraan ke sesuatu tempat itu. Hal ini telah dinukilkan oleh Bukhari Lubis dalam esei-esei kembaranya tetapi tidaklah terperinci dan mendalam sebagaimana yang dinukilkan Meaghan Wilson Anastasios dan Roger Crowley. Bukhari menerapkan unsur-unsur sejarah dalam penulisannya hanya sekadar pintasan atau kenangan lalu sahaja terhadap topik kontemporari yang dibicarakan itu.
Karya Kembara Sastera Bukhari Lubis
Karya kembara sastera Bukhari Lubis kesemuanya berbentuk esei. Beliau tidak pernah menghasilkan buku-buku seumpama di atas kecuali beberapa buah esei yang bercorak catatan perjalanan. Penulis mengesani sebanyak lapan buah esei beliau tersiar dalam majalah dan bab buku dalam tempoh tahun 1995 hingga 2018 iaitu Tiga Kota Raya Eropah: Franfurt-Paris-London (1995), Lasbela di Negara-negara Balkan (2015), Bismihi ‘Ta’ala Umrah (2016), Lawatan Sambil Belajar Ke Rumah Puisi Taufiq Ismail (2016) Jalan Revolusi Menggamit Lagi (Tehran & Qoun) (2018), Istanbul (2018), Kembara Ke Aceh (2018) dan Kenangan Melawat Bandar Buku Paju, Korea Selatan (2018).
Esei yang ditulis Bukhari berbentuk diari, merakam pergerakan ke suatu tempat itu secara terperinci termasuk menyatakan kos yang dibelanjakan khasnya pembelian buku di samping sedikit-sebanyak menerapkan rumusan Jose Saramago tentang kembara sastera iaitu “a fresh way of looking, a new way of feeling” ke dalam penceritaannya.
Tiga Kota Raya Eropah: Franfurt-Paris-London
Kembara Bukhari ke Eropah bermula pada 5 hingga 15 Oktober 1994 menginap sementara di Hotel Arkaden yang terletak di Gravenwiesbach, 10 kilometer dari Frankfurt. Bukhari mengikuti rombongan penulis Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang diketuai Baha Zain terpaksa menginap di hotel itu kerana mahu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt Ke-46 (46. Frankfurter Buchmesse). Franfurt kata Bukhari tidak sedingin Chicago yang dikenalinya sebagai a windy city. Dia menginap sebilik dengan Mana Sikana dan Wahid Kasran, esoknya ketika bersiar-siar di halaman gedung 46. Frankfurter Buchmesse tiba-tiba mereka terdorong memasuki ke kawasan kampus Universiti Goethe (Johann Wolfgang Goethe Universitat). Goethe ialah pujangga Jerman yang banyak terpengaruh dengan karya-karya Timur dalam bahasa Arab, khasnya Parsi.
Demikian sedikit petikan kisah daripada bab dalam buku Melintasi Benua (Baha Zain: 1995) yang memperlihatkan Bukhari melukis setiap apa yang dilihat, dilalui dan dirasainya. Justeru membaca bab itu tidak terasa kita menikmati catatan perjalanan sebaliknya Bukhari menggunakan ganti nama orang pertama iaitu “aku” bagi menyisihkan persepsi pembaca bahawa bab itu sebagai sebuah laporan perjalanan tetapi merupakan karya kembara sastera. Dia tidak semata-mata menulis apa yang dilihat dan dilalui tetapi menyusupkan kenangan lamanya bagi mewarnai tulisan tersebut dengan ciri-ciri karya sastera. Misalnya ketika melawat Universiti Paris tiba-tiba dia terkenang zaman silamnya yang berkaitan dengan universiti itu. Kata Bukhari;
Aku terkenangkan beberapa orang sarjana yang menjadi buah mulut sepanjang pengajianku. Tentu sekali pertama-tama aku teringat Profesor Dr. Muhammad Hamidullah yang sempat memberi tanda-tangannya di buku karanganku, Introduction to Islam pada 22.12.73. ….. Hubungan universiti ini dengan tokoh-tokoh terkenal dalam Pengajian Parsi dalam pembelajaranku juga terimbas kembali. Lantas aku terkenang akan Profesor Dr. Ravan Farhadi yang menjadi Profesor Sastera Parsiku di Berkeley (1995:696).
Lasbela di Negara-negara Balkan
Bismihi ‘Ta’ala Umrah
Gaya penulisan esei ini masih terikat dengan corak diari. Terperinci rakaman peristiwa dicatatkan secara kronologi. Lihat Bukhari menulis catatannya;
21/2/2016 (Ahad)
Solat Subuh kali pertama di hadapan Kaabah…
Jabal Rahmah (Arafah). Di sini kami diberitahu amat mujarab memohon doa, khasnya doa minta jodoh…
Jabal Nur
Muzdalifah
Mina (tempat melontar seperti Jamratul, Ula dan Wusta)
Acara terakhir kami dibawa ke Ja’ranah untuk bermiqat, seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah (kali kedua-kali ini waktu siang pula) (2016:12)
Selepas ziarah ke Gua Hira’ mereka akhirnya terus mengerjakan tawaf. Mendengar cerita Aktif dapat berpaut di pintu Kaabah, hasil pertolongan Muslim Indonesia, yang akhirnya memohon wang upah 200rS. Aktif mengatakan dia remaja, tiada wang langsung. Orang Indonesia itu terus menolong Aktif untuk menghampiri kawasan berkenaan. Aku terkenang, bagaimana mencari rezeki di tempat mulia begini, sedangkan penuh dengan dengan adegan himpit-menghimpit, mungkin terajang-menerajang! (2016: 16)
LESBELA
Penutup
Karya kembara sastera kian popular dalam kalangan penulis sekarang kerana mereka berkesempatan berkelana atau melancong ke mana-mana sahaja di dunia sekali gus hal ini mendedahkan mereka pengalaman baharu yang perlu ditulis sama ada dalam bentuk prosa mahu pun kreatif. Bukhari Lubis tidak ketinggalan menggunakan premis ini dengan menghasilkan esei-esei yang berkaitan dengan lawatan atau perjalanan yang dilaluinya ke seberang laut, justeru seharusnya esei-esei tersebut dimurnikan, kemudian dibukukan untuk tatapan pembaca kerana pengalaman dan tanggapan seseorang itu tidak sama walaupun yang dikunjungi itu lokasi yang sama.
Dr Zabidin sukar ditandingi keaktifannya Dalam berkarya.Rasanya tiada seorang Pon Yang sanggup menggarap karya sampai beribu2 Muka surat dengan pelbagai cetusan idea bernas.Dr Zabidin mahu tidak mahu,Kita mesti mengiktiraf kehebatannya dalam bidang penulisan pada zon terkini.Dr Zabidin menghasilkan pelbagai genre seolah olah tanpa jemu,letih dan bosan berada di medianya. Khazanahnya patut dikumpul dalam arkib Sastera untuk tatapan generasi akan datang.Belum nampak tokoh penulis yang semacam Dr Zabidin dari segi realitinya dan kuantiti berkarya. Syabas buat Dr Zabidin.
ReplyDeleteTksh.
Delete