Makna di Sebalik Sajak-sajak Belasungkawa
Istilah belasungkawa bererti pernyataan dukacita atau takziah (Kamus Dewan, 2015: 153-154) yang ditujukan khas kepada si mati manakala sajak belasungkawa atau sajak rekwim (elegy) adalah pernyataan dukacita yang dirakamkan dalam genre sajak yang eksklusif sifatnya serta disulami dengan sedikit-sebanyak biografi si mati. Makna elegy atau requiem bertepatan dengan erti belasungkawa cuma istilah elegy atau requiem itu apabila diMelayukan menjadi belasungkawa. Justeru timbullah istilah baru iaitu “sajak belasungkawa” dengan pengertian yang berpadanan dengan requiem atau elegy.
Sajak belasungkawa ditulis bukan hanya mengimbau perasaan dukacita atas kepulangan seseorang tokoh ke alam baqa tetapi disulami dengan penceritaan sumbangan tokoh kepada negara pada bait-bait puisi yang puitis dan ekonomis sifatnya. Gambaran kehidupan seseorang tokoh itu diolah dalam bentuk puisi moden yang tidak terikat dengan hukum-hukum genrelistik tetapi mementingkan simbol, metafora, rima dan sebagainya.
Kebiasaan sajak belasungkawa muncul di dada akhbar atau majalah apabila berlaku kematian seseorang tokoh nasional yang berjasa kepada watan, misalnya selama 43 tahun (1973-2016) media cetak di negara ini telah menyiarkan sebanyak 155 kuntum sajak belasungkawa yang merakamkan kematian 71 orang tokoh negara yang telah memberikan sumbangan jasa kepada negara dalam pelbagai bidang.
Penulis mula mengumpul sajak-sajak belasungkawa semenjak tahun 1973 apabila ramai tokoh negara termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohamad Salleh Ismael dan Seniman Agung, P. Ramlee seorang demi seorang meninggal dunia pada tahun yang sama. Akhbar arus perdana pula telah menyiarkan catatan kenangan mengenai kematian mereka dengan disertai sajak belasungkawa yang ditulis oleh penyair tanah air yang sesetengahnya berupaya menyentuh perasaan serta membangkitkan kesedihan. Usaha mengumpul sajak-sajak itu bermula pada tahun tersebut sehingga terhenti apabila sahabat penulis meninggal dunia iaitu Prof Madya Dr Talib Samat pada 14 April 2016.
Dalam perkiraan penulis, penyair yang rajin menukangi sajak-sajak tersebut ialah Chai Loon Guan sebanyak 15 kuntum, diikuti Zabidin Haji Ismail (14), Usman Awang (8), Ami Masra (8), Animas A.R (4), tiga kuntum masing-masing oleh A. Aziz Deraman dan Ahmad Sarju. Utusan Melayu (UM) telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan sajak-sajak belasungkawa. Sepanjang tempoh kajian dari tahun 1948 hingga 2016 terdapat sebanyak 31 kuntum sajak belasungkawa yang disiarkan di Utusan Zaman, Mingguan Malaysia (MM) dan Mastika.
UM mula menyiarkan sajak belasungkawa ketika kematian Abdul Rahim Kajai (tokoh Wartawan dan Bapa Cerpen Melayu) yang ditulis oleh Melan Abdullah bertajuk Abdul Rahim Kajai dalam Mastika keluaran bulan Jun 1948 sehingga kematian Tan Sri Ismail Hussein, bekas Ketua Satu GAPENA berjudul Mekar Mewangi karya Razali Mohd. Yusof siaran MM, 24 Oktober 2014.
Walaupun terdapat beberapa buah syarikat penerbitan lain menyiarkan sajak-sajak belasungkawa, namun komitmen mereka tidak sehebat UM. Misalnya Berita Harian (BH) menyiarkan sebanyak 13 sajak bermula dengan sajak Perginya Seorang Penyair (Allahyarham Zaihasra) karya Ida S (22.12.1989) sehingga Al Fatihah Buat Sutung Umar RS oleh Kamarulzaman Ismail (5.6.2016) manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak 33 sajak menerusi pelbagai majalah keluarannya dikesan bermula tahun 1966 apabila Dewan Masyarakat keluaran bulan Januari menyiarkan sajak Pahlawan Engkau Telah Pergi karya Firdaus Abdullah memperkatakan kematian Dato’ Seri Aminuddin Baki, Ketua Pengarah Pendidikan yang meninggal dunia pada 24.12.1965 dan terakhir, DBP menyiarkan sajak Memetik Palma Tangkai-Tangkai Gemuruh (kematian penyair Jamaludin D) dalam Dewan Sastera, September 2014 karya Abd. Rahim Omar.
Penerbit Universiti Putra Malaysia pula menerbitkan empat buah sajak dalam beberapa buah antologi puisi terbitannya seperti Suara Kemanusiaan Usman Awang dan Berpulangnya Penyu Menangis (JM Aziz) termuat antologi Antologi Terima Kasih Yaa Rabbi terbitan pada tahun 2011, Pelita Mutiara Bahasa (Mengenang Za’ba) dan Berakhirnya Sebuah Kembara (Dharmawijaya) dalam Antologi Terowong Emas Itu, 2013. Keempat-empat sajak tersebut dicipta oleh Anismas AR. Di samping itu Mingguan Watan pernah menyiarkan hanya dua buah sajak belasungkawa iaitu Warkah Kemaafan Ke Pusara (kematian Sasterawan Negara, Keris Mas) oleh Daeng Ramliakil siaran 10 Mei 1992 dan Belasungkawa (ii) (kematian Pak Sako ) karya Mustafa Yusoh (6 Nov 1994).
Sasterawan Negara Usman Awang dianggap sebagai pelopor penciptaan sajak-sajak belasungkawa kerana karyanya cukup mantap, menarik serta mendekati subjek dengan sulaman mesej yang mengesankan. Lihat Usman menulis tentang Dato’ Ahmad Boestamam dengan gaya penyampaian mesej yang bersahaja (Dewan Sastera, 1983); Boestamam, penjara demi penjara kaumasuki | derita demi derita di sekeliling pagar berduri | selama hidupmu lebih dari 5,745 hari | kaurebahkan dalam penjara berduri | selama ribuan hari lagi kaupikul beban rasa | kepedihan derita hidup keluarga | rindu pilu isteri dan putera-putera tercinta | namun tidak ada kata menyerah | meski tawaran kemewahan datang mencurah
Usman mampu mengungkap biografi Boestamam dengan jelas kerana mereka bersahabat, akrab dan rakan seperjuangan yang saling mengenali di antara satu dengan yang lain, justeru Usman menulis dari jiwa dan kalbu yang dicanaikan dengan minda terbuka. Katanya lagi; Pelabuhan sepi keranda sudah bertolak | sayup-sayup suara pidatonya dilambung ombak |benarkah pisang emas dibawa belayar | sungguhkah pulau pandan jauh ke tengah? | Boestamam putera besar tanah air | namamu terpahat di gerbang sejarah | pejuang kemerdekaan dan keadilan |budayawan dan sasterawan | ahli fikir dan negarawan | Harum semerbak bau kasturi | kemboja merah mekarlah berseri | kekal semarak perjuangan berani | Tuhan pengasih selalu merahmati.
Usman Awang juga amat produktif melahirkan sajak belasungkawa dengan lapan kuntum untuk lapan orang tokoh. Hakikatnya, suatu penghargaan tinggi jika Usman Awang mencipta puisi belasungkawa untuk tokoh tertentu kerana beliau hormat serta menyanjungi personaliti tersebut. Justeru itu selama 30 tahun (1962-1992), Usman hanya menulis puisi untuk lapan tokoh sahaja. Apakah kriteria penilaian terhadap seseorang tokoh yang dihargainya dengan penciptaan sajak belasungkawa adalah bergantung kepada timbang tara beliau sendiri. Salah satu ciri dikesani ialah seseorang tokoh itu haruslah rakan atau hala dan matlamat perjuangannya serasi dengan jiwa Usman.
Menakjubkan apabila Usman meninggal dunia, ramai pula penyair menulis sajak belasungkawa mengenang beliau iaitu 16 kuntum berbanding tokoh-tokoh negara yang lain seperti P. Ramlee (8 kuntum), Pak Sako (7), Prof. Zulkifli Muhammad (6), Aminuddin Baki (5) dan Ismail Hussein (5) yang menggambarkan bahawa kematian Usman Awang memberi kesan kesedihan yang mendalam di sanubari penyair tempatan.
Dalam pada itu, sajak Firdaus Abdullah yang mengungkapkan kematian Aminuddin Baki, Pahlawan Engkau Telah Pergi (Dewan Masyarakat, Januari 1966), cukup mengesankan dan berjaya merakamkan detik-detik kesedihan beliau; Petang itu, petang pertama bulan puasa | kupaksa diriku untuk tidak mempercayainya | dan kepalaku berpinar demi mendengar khabar | kata adik-adikku: Aminuddin Baki telah meninggal | Kematian itu pasti dan kita akan dikembalikan kepada-Nya. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran mahfumnya, “Di mana saja kamu berada, mati pasti akan menjumpaimu, sekalipun kamu berada dalam mahligai yang kukuh-kuat.” (an-Nisa’: 78). Justeru kematian tidak tertangguh walau sesaatpun dan Firdaus berkata bahawa seminggu sebelum kematian Aminuddin, dia telah berjumpa arwah di parlimen; (belum seminggu lalu kita bersua di gedung parlimen | seperti biasa engkau tersenyum bagai menangis | sedang mataku merangkul tubuhmu sepenuh sayang | tetapi kini, Aminuddin | kudengar khabar engkau telah meninggal | oh, luluhnya hati selepas engkau pergi).
Rasionalnya, garapan sajak belasungkawa menjurus kepada melahirkan perasaan dukacita terhadap kematian tokoh yang dianyam antara bait-bait puitis dalam mengenang jasa dan kebaikan yang telah ditaburkan oleh si mati. Penyair mengarap sajak-sajaknya dengan mengeksploit langgam bahasa melankolik serta disulam rangkaian sumbangan serta jasa bakti yang telah ditaburkan oleh si tokoh kepada masyarakatnya.
Sajak-sajak belasungkawa yang digarap oleh Usman Awang dan Firdaus Abdullah, antara contoh yang paling mengesankan di sanubari pembaca. Ciri-ciri sajak belasungkawa ialah berupaya menimbulkan perasaan dukacita tidak hanya memaparkan rentetan biografi si mati dalam bahasa ekonomis berlandaskan fakta sejarah. Bukan mudah sebenarnya untuk seseorang tokoh itu dikenang oleh masyarakat, apatah lagi untuk membangkitkan kerelaan penyair bagi menggarap sajak mengenang kematian seseorang tokoh. Pemergian tokoh besar sekalipun belum tentu ada penyair yang rela menggarap sajak untuk mengenang jasanya. Hakikat ini dikesan dalam tempoh mengumpul sajak-sajak belasungkawa dari tahun 1973 hinggalah 2016 banyak sekali kematian tokoh besar negara tidak diliputi oleh sajak belasungkawa. Justeru faktor kerelaan hati penting dalam garapan sajak-sajak belasungkawa. Lantas tidak semua kematian itu dapat membangkitkan naluri penyair bagi melahirkan sajak belasungkawa.
Sajak belasungkawa boleh dikategorikan sebagai bahan dokumentasi berbentuk karya kreatif yang mengenang kematian seseorang tokoh di samping satu bentuk penghargaan yang menghargai jasa dan sumbangan tokoh kepada masyarakat; bangsa yang besar itu adalah bangsa yang membesarkan pahlawannya.
(Sinar Ahad, 10 Okt 2021)
Comments
Post a Comment