Sastera Kembara dalam Karya Bukhari Lubis



Kembara  ialah satu perjalanan atau  mengembara pergi ke mana-mana.  Bertualang dan menjelajah juga tergolong dalam pengertian kembara manakala sastera pula adalah manifestasi artistik yang terasas dalam  penggunaan kata pada bahasa tulisan atau  lisan. Justeru,  cantuman dua perkataan itu dengan sendirinya terbentuk  istilah “kembara sastera” yang pada perspektif umum membawa makna suatu bentuk penulisan kreatif yang terhasil daripada pengalaman nyata pengarang yang menjejaki, melihat, merenungi dan menghayati sesuatu destinasi.  Namun begitu, rumusan ringkas ini turut menimbulkan persoalan hiliran iaitu terdapatkah perbezaan antara bentuk penulisan sastera kembara dengan penulisan laporan pengembaraan?

    Menurut Kamus Dewan (2005:731),  pengertian kembara ialah pergi ke mana-mana dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui, disebut juga bertualang, menjelajah dan mengembara. Pengertian sastera pula diertikan sebagai pengunaan bahasa (bukan bahasa basahan) dalam karya seni berbentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu (Kamus Dewan, 2005:1396).  Secara tuntasnya karya kembara sastera merupakan tulisan berbentuk prosa atau puisi   perihal pengembaraan ke sesuatu tempat dengan menggunakan bukan bahasa bahasan yang  menampilkan sesuatu yang istimewa pula.

  Bertolak daripada premis ini, penulis ingin menelusuri pengembaraan Prof. Emeritus Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis (Bukhari Lubis) ke beberapa buah negara dan benua yang dijelajahinya atas sifat sebagai ahli akademik, mengerjakan ibadah umrah ataupun dalam konteks lawatan sambil belajar (LESBELA). Beliau banyak berjalan, luas pandangan yang  menepati  falsafah peribahasa Melayu terdahulu dalam mengungkapkan  hikmah kembara. Gambaran dan pandangan beliau  terhadap  perihal pengembaraan yang dilaluinya dapat ditelusuri kerana setiap lawatan ke seberang laut itu diluahkan dalam karya kembara sastera.

 

Apa Itu Karya  Kembara Sastera?

 

   Karya kembara sastera terhasil apabila pengarang itu menjejaki sesuatu lokasi dan merakamkan pengalamannya ke dalam  apa sahaja bentuk  tulisan kreatif. Karya kembara sastera yang paling bermakna ialah buku kerana ia mampu merakamkan pengembaraan dalam tulisan dan foto secara menyeluruh berbanding esei, puisi mahupun cerpen. Di Malaysia terdapat beberapa buah buku bercorak kembara sastera yang penting dan popular dalam kalangan masyarakat sastera iaitu Warkah Eropah buah tangan Sasterawan Negara,  A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991, Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin (Nisah Harun, ITBM: 2012) dan terbitan terkini berjudul Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair karya Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh (DBP: 2019).

     Di Eropah pula antara buku kembara sastera tersohor ialah Journey To Portugal (Jose Saramago: 2000) dan Conquerors (Roger Crowley: 2015) manakala di Australia muncul The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) karya Meaghan Wison Anastasios. Banyak lagi naskhah berbentuk demikian di serata dunia, namun untuk tulisan ini memadai penulis mengemukakan ketiga-tiga buku tersebut sebagai rujukan dan cerminan.

    Asas kemunculan karya tersebut ialah pengembaraan. Namun begitu,  walaupun pada hakikatnya karya itu lahir berasaskan pengembaraan tetapi pandangan  pengarang  terhadap karya kembara sastera berbeza di antara satu dengan yang lain.  Pandangan mereka  rencam tetapi menjurus kepada hal ehwal pengembaraan. Mereka menyifatkan karya kembara sastera  yang lebih bermakna dan berkesan  ialah karya yang menampilkan sesuatu keistimewaan yang dilihat, didengar dan dialami oleh pengarang semasa dalam tempoh pengembaraan. Misalnya, Ralph Waldo Emerson yang menyimpulkan bahawa kembara itu adalah;

     “Though we travel the world over to find the beautiful, we must carry it with us or we find it not.”

    Malahan Muhammad Haji Salleh (2019:x) menyuarakan niatnya berkembara kerana mencari sesuatu. Katanya;

            “Antara yang saya cari ialah seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya. Di Thailand, Jepun, Indonesia dan juga India. Mereka ini, secara tidak sedar menjadi alter ego saya, yang ingin saya jadikan contoh kejayaan untuk dipelajari daripada kehalusan dan keberaniannya. Saya mencari tamadun - sejumlah kejayaan pemikiran, seni dan sastera dan manusia contoh yang menjadi penunjuk jalan. Saya mencari segi dan kelainan yang selalu membuat saya gembira melihat inovasi dan ketajaman mata seni mereka.”

 

    Justeru kembara sastera itu bukan sekadar mengunjungi sesuatu lokasi sebagai pelancong tetapi perlu seperti Muhammad mencari seni dan sastera yang terdapat di lokasi kembara untuk dijadikan penunjuk jalan. Selari juga dengan pandangan  Jose Saramago bahawa “A book capable of offering a fresh way of looking, a new way of feeling. Jose Saramago ialah sasterawan Portugis dan pernah memenangi Nobel Prize of Literature pada tahun 1998. Novelnya Journey To Portugal telah diterjemahkan ke dalam 20 bahasa dunia dan beliau mengarang tidak hanya memaparkan cerita kenangan perjalanan yang dilalui tetapi menonjolkan sejarah dan budaya Portugis.

    Malahan Meaghan Wilson Anastasios mengatakan The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) yang dihasilkannya adalah suatu kembara yang membongkar semula sejarah yang pernah dilalui Captain James Cook  iaitu orang pertama yang belajar di lautan Pacific pada sekitar tahun 1768 lantas menjumpai benua Australia.  Kata Meaghan menyebut;

            

         “This has been a journey of discovery, a love letter to my part of the world. It’s the story of an ocean as much as a story of people. It’s as much abaut the present as it is abaout history. It’s  as much abaout me, I suppose, as it is about Cook.”

 

    Menyedari hakikat ini, karya kembara sastera itu tidak hanya terhad kepada tema penggembaraan semata-mata tetapi menjauh dan melebar sehingga berfungsi menyelonggar sejarah silam sebagaimana kisah pelayaran Captain James Cook yang telah ditinggalkan zaman kira-kira 250 tahun dahulu. Demikian juga Roger Crowley yang menulis Conquerors (2015) meletakkan sejarah sebagai tema karyanya yang menyangkut penerokaan laut dalam oleh pelayar Portugis bernama Vasco de Gama sehingga ke Timur Jauh (Far East). Novel Conquerors dipilih sebagai Sunday Times Book of the Year di London dan telah diulas oleh Michael Prodger dari Financial Times dengan menyebut bahawa;

 

     Crowley has shown a rare gift for combining compelling narrative with lightly worn academic thoroughness ...The story he has to tell may be a thrilling one but not every historian could tell it so trillingly.

 

      Pandangan yang dilontarkan oleh Michael Prodger  yang tertera dalam petikan tersebut mengertikan bahawa penulis karya kembara sastera bukanlah seorang ahli sejarah namun begitu tidak bermakna dia tidak boleh menulis kisah sejarah dalam penggembaraannya, malahan nukilannya tentang sejarah seperti yang ditunjukkan oleh Crowley dalam Conquerors lebih mempesona dan mendebarkan pembaca.

    Justeru tema sejarah boleh sahaja dijadikan landasan penulisan karya kembara sastera dengan mengaitkan siri penggembaraan ke sesuatu tempat itu. Hal ini telah dinukilkan oleh Bukhari Lubis dalam esei-esei kembaranya tetapi tidaklah terperinci dan mendalam sebagaimana  yang dinukilkan Meaghan Wilson Anastasios dan Roger Crowley. Bukhari menerapkan unsur-unsur sejarah  dalam penulisannya hanya sekadar pintasan atau kenangan lalu sahaja terhadap topik kontemporari yang dibicarakan itu.

 

Karya Kembara Sastera Bukhari Lubis

 

Karya kembara sastera Bukhari Lubis kesemuanya berbentuk esei. Beliau tidak pernah menghasilkan buku-buku seumpama di atas kecuali beberapa buah esei yang bercorak  catatan perjalanan. Penulis mengesani sebanyak lapan  buah esei beliau tersiar dalam majalah dan bab buku  dalam tempoh tahun 1995 hingga 2018 iaitu  Tiga Kota Raya Eropah: Franfurt-Paris-London (1995), Lasbela di Negara-negara Balkan (2015), Bismihi ‘Ta’ala Umrah (2016), Lawatan Sambil Belajar Ke Rumah Puisi Taufiq Ismail (2016) Jalan Revolusi Menggamit Lagi (Tehran & Qoun) (2018), Istanbul (2018), Kembara Ke Aceh (2018) dan Kenangan Melawat Bandar Buku Paju, Korea Selatan (2018).

    Esei yang ditulis Bukhari berbentuk diari, merakam pergerakan ke suatu tempat itu secara terperinci termasuk menyatakan kos yang dibelanjakan khasnya pembelian buku di samping sedikit-sebanyak menerapkan rumusan Jose Saramago tentang kembara sastera  iaitu “a fresh way of looking, a new way of feeling” ke dalam penceritaannya.

 

Tiga Kota Raya Eropah: Franfurt-Paris-London

 

    Kembara Bukhari ke Eropah bermula pada 5 hingga 15 Oktober 1994 menginap sementara di Hotel Arkaden yang terletak di Gravenwiesbach, 10 kilometer dari Frankfurt.  Bukhari  mengikuti rombongan penulis Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang diketuai Baha Zain  terpaksa menginap di hotel itu kerana mahu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt Ke-46 (46. Frankfurter Buchmesse).  Franfurt kata Bukhari tidak sedingin Chicago yang dikenalinya sebagai a windy city. Dia menginap sebilik  dengan Mana Sikana dan Wahid Kasran, esoknya ketika bersiar-siar di halaman gedung  46. Frankfurter Buchmesse tiba-tiba mereka terdorong memasuki ke kawasan kampus Universiti Goethe (Johann Wolfgang Goethe Universitat). Goethe  ialah pujangga Jerman yang banyak terpengaruh dengan karya-karya Timur dalam bahasa Arab, khasnya Parsi.  

       Demikian sedikit petikan kisah daripada bab dalam buku Melintasi Benua (Baha Zain: 1995) yang memperlihatkan Bukhari  melukis setiap apa yang dilihat, dilalui dan dirasainya.  Justeru membaca bab itu tidak terasa kita menikmati catatan  perjalanan sebaliknya Bukhari menggunakan ganti nama orang pertama iaitu “aku” bagi menyisihkan persepsi pembaca bahawa bab  itu sebagai sebuah laporan perjalanan tetapi merupakan karya kembara sastera. Dia tidak semata-mata menulis apa yang dilihat dan dilalui tetapi menyusupkan kenangan lamanya bagi mewarnai tulisan tersebut dengan ciri-ciri  karya sastera. Misalnya ketika  melawat Universiti Paris  tiba-tiba dia terkenang zaman silamnya yang berkaitan dengan universiti itu. Kata Bukhari;

     Aku terkenangkan beberapa orang sarjana yang menjadi buah mulut sepanjang pengajianku. Tentu sekali pertama-tama aku teringat Profesor Dr. Muhammad Hamidullah yang sempat memberi tanda-tangannya di buku karanganku, Introduction to Islam pada 22.12.73. ….. Hubungan universiti ini dengan tokoh-tokoh terkenal dalam Pengajian Parsi dalam pembelajaranku juga terimbas kembali. Lantas aku  terkenang akan Profesor Dr. Ravan Farhadi yang menjadi Profesor Sastera Parsiku di Berkeley (1995:696).

      Kenangan silam telah digaulkan ke dalam cerita kembara itu secara  sepontan bagi  menambah pengetahuan bantu  yang  membekas di hati khalayak pembaca selain memberikan mesej bermanfaat. Tujuan memasukkan kenangan silam yang berhubung kait dengan cerita asal adalah untuk menimbulkan kesan tidak langsung kepada episod yang dikisahkan serta menambah kefahaman pembaca terhadap subjek yang dipaparkan. 
     Teknik penulisan begini  amat diperlukan dalam menghasilkan karya kembara sastera terutama dalam menggambarkan  sesuatu episod yang dilalui pengarang. Namun hal ini bukan mudah kerana pengarang mesti pernah ada pengalaman silang kembara dan daya ingatan yang tinggi dalam melukis semula pengalaman yang pernah dilaluinya.


Lasbela di Negara-negara Balkan

 

    Negara-negara Balkan terletak bersebelahan Eropah. Islam pernah berkembang di Balkan menerusi taklukan kerajaan Uthmaniyyah ke atas bumi cantik ini. Justeru  peninggalan tamadun bangsa Turki banyak terlihat pada  kesenian masjid dan bangunan lama.  Bukhari mula mengembara  ke sini sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Tirana, Albania dari Istanbul. Dia menjelajahi ke lima buah negara Balkan  seperti Albania, Montenegro,  Crotia, Bosnia Herzegovina dan Sarajevo. Pada awal penulisannya, Bukhari menulis dalam bentuk diari  namun lama kelamaan bertukar kepada bentuk penulisan autobiografi. Contohnya;
   Tidak jauh dan tidaklah besar pekan berkenaan, namun pemandu pelancong kami kelam-kabut mencari arah paling dekat agar kami tidak berjalan jauh antara bas dengan masjid. Masjid Malaysia ini tidaklah besar sangat, namun memadailah untuk kegunaan penghuni setempat. Ada plak memberitahu masjid itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kami sama-sama solat Asar dengan penduduk setempat, imamnya tidak bertutur dalam bahasa Arab sebaliknya dalam bahasa Inggeris (2015:18). 
    Bentuk penulisan autobiografi atau memoir amat sesuai dalam melukis pengalaman kembara kerana penceritaan tidak kaku dan sentiasa segar kerana bahasa sastera mudah diserapkan ke dalam bentuk penulisan autobiografi atau memoir berbanding bentuk penulisan laporan atau catatan perjalanan. Bahasa sastera yang dimaksudkan ialah penggunaan istilah, bunga bahasa (peribahasa, simpulan bahasa dan lain-lain) serta frasa yang tidak terlalu gramatis. Lebih menarik lagi ciri-ciri fiksyen seperti dialog, imbas kembali, naratif serta dramatik boleh juga diserapkan ke dalam karya seandainya berpadanan. 
   Namun, karya Bukhari walaupun berbentuk penulisan autobiografi tetapi tidak menyeluruh malah penggunaan bahasa sastera agak sedikit sebaliknya pengarang cenderung ke arah penulisan catatan perjalanan dengan memasukkan iltenary lawatan  lantas  kadang-kala terjebak menulis laporan perjalanan.

 

Bismihi ‘Ta’ala Umrah

 

        Gaya penulisan esei ini masih terikat dengan corak diari. Terperinci rakaman peristiwa dicatatkan secara kronologi. Lihat Bukhari menulis catatannya;

 

            21/2/2016 (Ahad)

            Solat Subuh kali pertama di hadapan Kaabah…

         Jabal Rahmah (Arafah). Di sini kami diberitahu amat mujarab memohon doa, khasnya doa  minta jodoh…

            Jabal Nur

            Muzdalifah

             Mina (tempat melontar seperti Jamratul, Ula dan Wusta)

Acara terakhir kami dibawa ke Ja’ranah untuk bermiqat, seterusnya kembali ke    Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah (kali kedua-kali ini waktu siang pula) (2016:12)

 

     Catatannya ringkas tetapi membangkitkan persoalan yang menjadi renungan dan bahan untuk difikirkan bersama, misalnya;


Selepas ziarah ke Gua Hira’ mereka akhirnya terus mengerjakan tawaf. Mendengar cerita Aktif dapat berpaut di pintu Kaabah, hasil pertolongan Muslim Indonesia, yang akhirnya memohon wang upah 200rS. Aktif  mengatakan dia remaja, tiada wang langsung. Orang Indonesia itu terus menolong Aktif untuk menghampiri  kawasan berkenaan. Aku terkenang, bagaimana mencari rezeki di tempat mulia begini, sedangkan penuh dengan dengan adegan himpit-menghimpit, mungkin terajang-menerajang!  (2016: 16)

 

      Dalam kebanyakan esei kembara sastera, Bukhari gemar menyelitkan peristiwa lampau dengan topik kontemporari yang dibicarakan agar nukilannya menjadi segar, hidup  sekali gus memberi sedikit pengetahuan tambahan tentang  sesuatu.

LESBELA  

        Buku kembara sastera berjudul Kembara Ilmu Karyawan Pk ke Ranag Minang dan Aceh (2018) memuatkan dua buah artikel Bukhari Lubis dalam bab 2  bertajuk Lawatan Sambil Belajar ke Rumah Puisi Taufiq Ismail (hlm.12) dan bab 9; Kembara Ke Aceh: Mengaut Pengelaman dan Kenangan (hlm.68). Buku ini mengumpulkan beberapa buah esei para penulis yang mengikuti program lawatan sastera ke Minangkabau, Sumatera Barat dan Aceh yang telah dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).  Buku ini penting bagi sejarah penulisan Bukhari Lubis kerana di dalamnya memuatkan dua buah esei kembara beliau yang pernah dibukukan  selepas buku Tiga Kota Raya Eropah: Franfurt-Paris-London (1995) di samping sebagai penyelenggara bersama dengan Onn Abdullah.  
      Kedua-dua esei tersebut dijadikan bab dan esei pertama berjudul Lawatan Sambil Belajar Ke Rumah Puisi Taufiq Ismail  (hlm. 12) mengisi bahagian satu, bab 2 manakala esei kedua ialah Kembara Ke Aceh: Mengaut Pengalaman dan Kenangan (hlm.68)  dalam bahagian 2, bab 9. Esei pertama pernah juga tersiar terlebih dahulu dalam Dewan Budaya, Januari 2016) sebelum dibukukan.

Penutup

     Karya kembara sastera kian popular dalam kalangan penulis sekarang kerana mereka berkesempatan berkelana atau melancong ke mana-mana sahaja di dunia sekali gus  hal ini   mendedahkan mereka pengalaman baharu yang perlu ditulis sama  ada dalam bentuk prosa mahu pun kreatif.  Bukhari Lubis tidak ketinggalan menggunakan premis ini dengan menghasilkan esei-esei yang berkaitan dengan lawatan atau perjalanan yang dilaluinya ke seberang laut,  justeru seharusnya esei-esei tersebut dimurnikan, kemudian dibukukan untuk tatapan pembaca kerana pengalaman dan tanggapan seseorang itu tidak sama walaupun yang dikunjungi itu lokasi yang sama.

 

 Bibliografi
Jose  Saramago (2000). Journey To Portugal. London:The harvill Press
Meaghan Wilson Anastasios (2019).The Pacific in The Wake of Captain Cook. Sydney, Australia: HarperCollinsPublisher
Muhammad Haji Salleh (2019). Kembara Mencari Sempadan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Risi SS dan Onn Abdullah (Prny.) (2014). Kembara Ilmu Karyawan Pk ke Ranah Minang & Aceh. Ipoh: Persatuan Karyawan Perak
Roger Crowley  (2015). Conquerors How Portugal Forged The First Global Empire. London: Faber & Faber Limited Bloomsbury House

Comments

  1. Dr Zabidin sukar ditandingi keaktifannya Dalam berkarya.Rasanya tiada seorang Pon Yang sanggup menggarap karya sampai beribu2 Muka surat dengan pelbagai cetusan idea bernas.Dr Zabidin mahu tidak mahu,Kita mesti mengiktiraf kehebatannya dalam bidang penulisan pada zon terkini.Dr Zabidin menghasilkan pelbagai genre seolah olah tanpa jemu,letih dan bosan berada di medianya. Khazanahnya patut dikumpul dalam arkib Sastera untuk tatapan generasi akan datang.Belum nampak tokoh penulis yang semacam Dr Zabidin dari segi realitinya dan kuantiti berkarya. Syabas buat Dr Zabidin.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bayangan Panglima Awang dalam Novel-novel Tanah Air

Penerbitan Biografi Negara