Bayangan Panglima Awang dalam Novel-novel Tanah Air



Enrique De Malacca atau Panglima Awang dikatakan manusia pertama mengelilingi dunia. Bayangan kehandalan beliau sebagai  tokoh pelayaran berbangsa Melayu  ini acapkali dibukukan dan fakta berunsur fiksyen terangkum dalam lima buah novel Malaysia.  Kelima-lima buah novel berbahasa Melayu itu  ialah  Panglima Awang  karya Harun Aminurrashid (1983:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 201 halaman), Enrique Mengundang Jauh oleh HM Tuah Iskandar (2003:Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 467 halaman), Aku Penyudah Tugas Kpt. F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah  tulisan Zain alJohan (2012:  Pekan Ilmu,  239 halaman), Panglima Awang Penguasa Lima Lautan  karangan Rosli Mohd Sah (2014:Yamani Angle Sdn Bhd 693 halaman) dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia  ciptaan Kamaludin Abdul Settar (2016: DBP, 217 halaman).
    Fakta yang dikemukakan dalam novel-novel  tersebut  hampir keseluruhannya bersumberkan naskhah Eropah seperti Magellan’s Voyage: A Narrative Account of the First Circumnavigation tulisan Antonio Pigafetta, Portuguese Documents On Malacca oleh MJ Pintado, The World Book Encyclopedia Volume 13 (1996),  Over the Edge of the World: Magellan’s Terrifying Circumnavigation of the globe (Lauren Bergreen: 2003), The First Ships around the World (W.D Brownlee: 1977), The Voyage of Magellan (Richard Humble: 1988), The First Voyage Round The World by Magellan (Henry Edwards John Stanley:2010) dan sebagainya.  
    Enrique De Malacca  atau Panglima Awang mula belayar menyertai pasukan  lima buah kapal; Conception, Trinidad, Victoria, Santiago dan San Antanio  dari Sepanyol yang diketuai oleh Ferdinand d Magellan  dalam ekspidisi Armada Maluku.   Meskipun ekspidisi tersebut menerima kecelakaan di Cebu, Filipina dengan terbunuhnya Ferdinand Magellean tetapi salah sebuah kapal iaitu Victoria berjaya balik ke Sepanyol dan dikatakan Panglima Awang sendiri yang mengemudikan kapal tersebut.
     Hal ini tercatat dalam The World Book Encyclopedia Volume 13 (1996) yang menyebut bahawa The Victoria, under the command of Espinosa, continued its westward voyage back to Spain, finally reached Sanluca de Barramade on Spt. 6, 1522 nearly three years after the voyage had begun. Only Espinosa and 17 other survivors returned with the ship”.  Siapa Espinosa? Adakah beliau Panglima Awang?  Jikalau Espinosa ialah Panglima Awang nyata sekali beliau manusia pertama mengelilingi dunia. Namun begitu, terdapat satu lagi teori menyebut Panglima Awang tidak  meneruskan pelayaran ke Sepanyol sebaliknya balik ke Melaka dengan  kapal lain yang tidak terlibat dalam ekspidisi Armada Maluku.

Kisah Panglima Awang  dijadikan Karya Kreatif
Sehingga sekarang bukti sejarah mengatakan Panglima Awang sebagai   manusia pertama mengelilingi dunia masih samar-samar. Antonio Pigafetta seorang jurutulis dalam rombongan Armada Maluku tidak memberikan gambaran tepat tentang peranan Panglima Awang selain menyatakan dia sebagai pembantu kepada Magellan.  Dalam novel  Conquerors (Roge Crowley :2015), Enrique de Malacca digambarkan sebagai  seorang hamba dari Sumatera yang telah dibaptis lalu  dikenali dengan nama Henrique,  berperanan sebagai penterjemah kepada Magellan.
      Namun demikian, tiga buah novel Melayu; Panglima Awang (Harun Aminurrashid), Enrique Mengundang Jauh (HM Tuah Iskandar) dan Aku Penyudah Tugas Kpt. F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah ( Zain alJohan) Awang Kembara Mengelilingi Dunia (Kamaludin Abdul Settar) kecuali Panglima Awang Penguasa Lima Lautan (Rosli Mohd Sah) telah mengesahkan bahawa Panglima Awang manusia pertama mengelilingi dunia bukan Ferdinand d’ Magellan seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah dunia.  
       Justeru masing-masing novelis mengarap justifikasi kesimpulan yang berbeza dalam proses melengkapkan pusingan pelayaran Panglima Awang  sebagai telah mengelilingi dunia. Harun Aminurrashid misalnya telah menggambarkan Panglima Awang menyelesaikan pusingan pelayaran kerana kembali ke Melaka dari Cebu, Filipina dan menemui tunangnya, Tun Gayah.  HM Tuah Iskandar  menyatakan Panglima Awang balik ke Sepanyol dan berkahwin dengan Miriam, adik Ferdinand d’ Magellan serta membuka penempatan baru bernama Malaga berhampiran Lisbon manakala Zain alJohan turut memberikan kesimpulan kreatif dengan menyatakan bahawa Panglima Awang yang mendapat kecederaan parah semasa pertempuran di Cebu itu telah menerima rawatan istimewa daripada tunangnya, Gayah dan kemudian balik ke Tanah Melayu seterusnya ke Sumatera, negeri asal Panglima Awang.
     Novel adalah karya kreatif yang memiliki lesen imajinasi seperti laut yang tidak bertepi; melebar dan luas sebagaimana kehendak pengarangannya. Pengarang  kalau mahu,  boleh memaparkan kesimpulan kreatif dengan tidak menuruti fakta, melencungkan karangannya daripada kronologi sejarah mahupun menambah peristiwa bagi mencantikkan garapan kreatifnya.
    Fakta-fakta relevensi terhadap sejarah realiti yang telah diharungi Panglima Awang bagi menggambarkan ketokohan beliau sebagai ahli pelayaran Melayu yang tersohor  di dunia sekalipun agak sukar meletakkan beliau sebagai manusia pertama mengelilingi dunia lantaran kekurangan fakta sejarah yang bersandarkan  bukti sahih.  
      Dari segi nama protagonis,  pelbagai nama dan gelaran dicipta. Antaranya  “Awang” bagi novel Panglima Awang Penguasa Lima Lautan dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia,Panglima Awang” (Panglima Awang), “Ariberto” (Enrique Mengundang Jauh), “Datuk Laut Dalam” (Aku Penyudah Tugas Kpt.F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah). manakala nama protagonis di luar novel seperti Henry The Black, Enrique de Malacca, Henrich (dalam tulisan Antonio Pigafetta) dan Espinosa (The World Book Encyclopedia Volume 13 (1996).
       Intipati kisah protagonis dalam Panglima Awang Penguasa Lima Lautan melakarkan Awang  anak murid Tok Beguk  (tangkas bermain senjata berusia 18 tahun). Awang dan Andak rakan kembar. Awang memupunyai adik perempuan bernama Melati dan Andak menaruh hati kepadanya (Bab 4: 52-53).  Awang dikatakan berasal dari Kampar, Sumatera (Bab 4:58) memanggil Ferdinand Magellan  dengan nama Fernan  (Bab 33:455).
    Novel  Aku Penyudah Tugas Kapten Ferdinand  Magellan dan Laksammana Hang Tuah antara lain mengisahkan tiga buah kapal dari Sepanyol mendarat di pulau Mazzava Cebu, Filipina 7 April 1521 – Trinidad, Conception dan Victoria. Trinidad (Kapten Joao de Lopez Carvalho) dan Victoria ( Kapten Sebastian del Cano)  berjaya melepaskan diri, balik ke Sepanyol.  Kapal Conception (Kapten Ferdinand Magellan) tersadai di Cebu  (Bab 1:5). 
        Pada awal kisah,  digambarkan perjalanan kapal-kapal itu dari Sepanyol menyeberangi Lautan Atlantik dan Pasifik seterusnya ke Filipina. Ini laluan baru  telah diterokai oleh pelayar-pelayar tersebut  yang diketuai Ferdinand Magellan. Lazimnya pelayar dari Eropah menyusuri Tanjung Pengharapan (Cape of Hope) seterusnya belayar ke Timur merentasi Laut Arab, Lautan  Hindi, Teluk Benggala dan kemudia masuk ke Selat Melaka (Bab 1:6).  Enrique de Malacca bertindak sebagai utusan perundingan dengan penguasa Cebu, Raja Humabon menggunakan bahasa Melayu  (Bab1:7). Kapal-kapal Sepanyol ini dikenali sebagai Armada Maluku. Rundingan pertukaran barang dijalankan di Pulau Mactan dan penguasanya Si Lapu-lapu pada 27 April 1521. Berlaku pertempuran, Ferdinand Magellan mati terbunuh di situ (Bab 1:7). Pengeran Adipati menjumpai tubuh nazak Enrique de Malacca terbaring dalam usungan (bab 1:13-14).
          Armada Maluku meninggalkan Mactan tiba  di Cebu pada 30 April  1521 (diketuai oleh Duarte Barbosa) dan dia dibunuh dalam satu jamuan di pantai Muzzava bersama-sama 27 orang anak kapal. Pembunuhan ini dirancang oleh Enrique de Malacca bagi menyelamatkan Raja Humabon yang pada awal mahu dibunuh oleh Duarte Barbosa. Conception turut dibakar. Armada Maluku hanya tinggal Trinidad ( Jaoa Lopez de Calvalho)  dan Victoria diambil alih Sebastian delCano    (Bab 6:115). Enrique de Malacca cedera parah dan diselamatkan oleh Raja Humabon. Kemudian gayah muncul merawat Enrique  (Bab 8:127). Panglima Awang  berasal salah dari satu wilayah di Minangkabau (Bab 9:137).
     Novel Enrique Mengundang  Jauh merakamkan Enrique manusia pertama mengelilingi dunia (Bab 2:12) pernah  menetap di Portugal dan kemudian di Sepanyol dan berkahwin dengan Miriam, adik Ferdinand  d Magellan (Bab 3:42).  Enrique ialah Panglima Awang yang mengikut Ferdinand d Magellan mengelilingi dunia adalah seorang Melayu yang hidup pada zaman kejatuhan Melaka. Ferdinand mati di Cebu, Filipina manakala Enrique meneruskan pelayaran itu hingga kembali ke Sepanyol  (Bab 3:43).  Semasa Panglima Awang hendak berkahwin dengan Miriam namanya Ariberto dan Miriam diIslamkan secara sulit oleh Portugis beragama Islam di bilik pengantin (Bab 12:339) di satu kawasan kediamannya di Sepanyol dinamakan Malaga  (Bab 12:341).  Malaga, bandar keempat terbesar di Sepanyol dibuka oleh Panglima Awang pada abad ke 16 Masehi (Bab13:410). Enrique membina penempatan baru itu berhampiran penempatan orang Arab. Pada peringkat awal dinamakan Melaka tetapi loghat daerah menukarkan sebut kepada Malaga  (Bab 13:411).
       Harun Aminurrashid yang pertama kali  mencetus kisah Panglima Awang melukiskan bahawa  protagonis  dikatakan datang dari Palembang, menjadi budak suruhan Laksamana Melaka dan diajar ilmu pelayaran  (Bab 1:4). Panglima Awang ditawan oleh Alfonso d’ Albuquerque  (Bab 3:38). Semasa pelayaran ke Goa, Panglima Awang dijaga oleh Kapten Fernado  (Bab 5:58). Kapten Fernado menukar nama Panglima Awang kepada Enrique  (Bab 5:61). Enrique berbahasa Portugis dengan pemandu tua. Dia belajar bahasa Portugis dalam kapal  (Bab 7:80).  Di Portugal Enrique bebas keluar masuk rumah Ferdano  dan pergaulan dengan Mariam, adik Fernado semakin mesra  (Bab 8:95). Raja Charles mengucapkan selamat belayar kepada lima buah kapal di pelabuhan Serville, Sepanyol pada tahun 1519. Enrique (penolong) dan Fernado  (ketua)  (Bab 10:115).  Tiba di Pulau Mazzava, jumpa orang Melayu  (Bab 11:133). Mereka bertemu Raja Humabon dan Raja Cebu (Bab 12:145). Panglima Awang dilantik oleh Raja Humabon sebagai pembesar negeri dan Ferdano sahabatnya (Bab 12:145). Ferdano mati di Cebu (Bab 13:156).
      Novel Panglima Awang dan Aku Penyudah Tugas Kpt Ferdinand Magellan dan Laksamana Hang Tuah tepu dengan fakta berkaitan Panglima Awang sebab kedua-dua novel ini menghuraikan kronologi kehidupan Panglima Awang  dari Melaka – Eropah – Tanah Melayu sebaliknya Enrique Mengundang Jauh  berkisar  protaganis berusaha mencari legasi Panglima Awang di Eropah terutama di Sepanyol yang dikatakan terdapat sebuah petempatan bernama Malaga telah dibuka oleh Panglima Awang.
     Sebuah lagi bertajuk Panglima Awang Penguasa Lima Lautan   kandungannya tidak menggambarkan sebagaimana judul sebaliknya kisah Panglima Awang yang dipanggil sebagai Awang berkisar di Kampar, Sumatera.  Awang digambarkan bersiap sedia untuk ke Melaka membantu peribumi menghadapi tekanan Portugis yang telah menguasai negeri Melaka.  Cerita Awang habis begitu sahaja sebaliknya golongan pembelot, Raja Mundeliar, Kitol dan sebagainya mendominasi garapan kreatif pengarang.

Penutup
Kelima-lima  novel yang digarap berasaskan kisah Panglima Awang  dari perspektif pelbagai sudut yang meletakkan unsur patriotisme sebagai landasan berkarya. Kesahihan fakta  tidak sangat diambil kira sebaliknya kisah Panglima Awang digambarkan sebagai legasi alam Melayu yang perlu didedahkan  dan wajar menerima perhatian berbagai pihak khususnya bangsa Melayu di Nusantara.

(Sinar Ahad, 19 Dis 2021)

Comments

  1. https://drzabidin.blogspot.com/2022/01/sastera-kembara-dalam-karya-bukhari.html?m=1

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Penerbitan Biografi Negara

Sastera Kembara dalam Karya Bukhari Lubis