Penerbitan Biografi Negara
Senario penerbitan biografi di negara ini telah diperkatakan dalam satu forum yang disebut “Persidangan Penerbitan Biografi Malaysia” (PPBM) di sebuah hotel di Putrajaya pada 18-19 November 2005 anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Persidangan yang bertemakan “Memperkasa Korpus Warisan Malaysia” begitu penting untuk mencetuskan pelaksaanaan penerbitan biografi oleh rumah-rumah penerbitan dalam konteks projek biografi kontemporari.
Sehubungan itu, berdasarkan pencarian dalam katalog perpustakaan, tidak sampai seribu judul biografi yang telah diterbitkan sehingga kini di negara kita, namun jumlah ini tidak berpadanan dengan warisan yang ditinggalkan oleh pemuka-pemuka kemajuan negara dalam semua aspek pentadbiran, sosial dan kehidupan. Hal ini menyebabkan catatan warisan negara terabai dan lambat laun lenyap ditelan zaman. Meskipun beberapa penyelidikan biografi dilakukan di universiti tempatan dan turut disokong dengan terbitnya Jurnal Biografi Malaysia (Jun 2005) tetapi perkembangannya tidak selancar yang diharapkan dan wajar diaktifkan sebagaimana yang telah diresolusikan dalam seminar biografi 1986.
Di Indonesia menurut Gerry van Klinken, penulisan buku biografi dari tahun 1950-2000 berjumlah 2,629 judul merangkumi penerbitan biografi, autobiografi, memoir dan prosopografi malahan negara itu juga melahirkan banyak sekali novel biografi yang kreatif sifatnya tetapi mengandungi fakta dan refleksi autentik dari pengalaman seseorang tokoh. Misalnya, novel biografi Muhammad Lelaki Penggenggam Hujan karya Tasaro GK (2017), Hamka (Haidar Musyafa:2016) dan Sang Mujtahid Islam Nusantara K.H Abdul Wahid Hasyim (Aguk Irawan, M.N:2016) sekali gus merancakkan senario penulisan biografi di Indonesia.
Malaysia, walaupun sudah wujud tradisi penulisan novel biografi namun tidak pula menamakan naskhah itu sebagai novel biografi sebaliknya menggunakan istilah hikayat atau novel sejarah seperti Hikayat Hang Tuah (biografi) atau Hikayat Munsyi Abdullah (autobiografi). Malahan Abdul Latip Talib yang banyak mengarang buku bercorak biografi seperti Bilal Bin Rabah (2018) dan Hamka (2014), Shafie Abd. Rahman (Raja Haji:2013), Azzah AR (Shamsiah Fakeh : 2011) menamakan karya mereka sebagai novel sejarah sedangkan di Indonesia teks begini dijenamakan sebagai novel biografi.
Jeniri Amir mentakrifkan novel biografi sebagai novel tentang perjalanan hidup atau perjuangan seseorang, dengan memberi perhatian kepada pengalaman dan cabaran serta perjuangannya dalam peristiwa tertentu (2013).
Justeru itu dilihat biografi dan sejarah seakan-akan tiada perbezaan tetapi penulisan biografi atau riwayat hidup mengutamakan fakta mengenai seseorang tokoh dari sejak lahir hingga kematiannya (jika telah meninggal dunia) manakala skop sejarah pula mementing peristiwa, akibat dan padanannya dengan sejarah negara. Menulis mengenai seseorang tokoh negara dari perspektif biografi akan menyimpang jauh dari konsep penulisan sejarah walaupun keterlibatan tokoh tersebut dalam sesuatu peristiwa itu telahpun menjadi sejarah! Ironinya, ada sesetengah pengarang menulis biografi dari perspektif sejarah justeru karya yang terhasil itu bukan sebuah biografi sebaliknya buku semi-sejarah atau historiografi.
Takrifan
Perkataan biografi mula digunakan di England pada tahun 1683. Dryken mentakrifkannya sebagai sejarah hidup seseorang manusia tertentu. Pentakrifan Dryken itu tidak menyekat ruang lingkup penulisan biografi yang boleh digarap secara kreatif mahupun non-kreatif. Jika kreatif menjadi sebuah novel sebaliknya tulisan berbentuk non-kreatif dianggap sebagai dokumen dan akhirnya disifatkan sebagai buku sejarah. Biografi adalah riwayat hidup atau cerita manusia. Sirah Nabi Muhammad S.A.W itu adalah biografi dan jika dipanggil biografi Nabi Muhammad juga bertepatan dengan maksudnya. Penulisan biografi merangkumi autobiografi, memoir dan prosopografi tetapi dicerakinkan dengan konsep dan format tertentu yang membezakan corak karya. Naskhah autobiografi ialah pengalaman nyata yang ditulis sendiri empunya cerita manakala memoir ditulis sama-ada penulis sendiri atau orang lain tetapi hanya berkisar dari sebuah kisah daripada kehidupannya.
Takrifan prosopografi pula ialah penulisan riwayat hidup kelompok atau biografi kolektif. Dalam historiografi Islam dipanggil tabaqat yang bersifat tematik dan bidang kepakaran tokoh. Contohnya, Biografi Penulis Perak Jld 1 (2020), Biografi Penulis Perak Jld 2 (2021), 30 Tokoh Tersohor Perak Darul Ridzuan (2013), Biografi Tokoh Rao (2012), 50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia (2011), Ensiklopedia Ulama Nusantara (2009), Tokoh-tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu (2005) dan 7 Wali Melayu (1993). Penerbitan prosopografi lazimnya terikat kepada tema dan skop penglibatan seseorang tokoh manakala corak penulisan hanya menyorot perspektif tertentu dalam mengarap riwayat kehidupan tokoh berkenaan.
Resolusi
Penerbitan biografi amat penting bagi sesebuah negara kerana rakaman warisan yang berkait dengan tamadun negara dapat diperolehi menerusi karya biografi. Hakikat ini telah disedari oleh PPBM lantas mengambil ketetapan meluluskan 14 resolusi yang antara lain menjadikan penerbitan biografi sebagai warisan negara dalam konteks pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh-tokoh tertentu kepada negara dan negeri.
Di samping itu, PPBM juga mencadangkan penubuhan Yayasan Biografi Negara serta menyediakan dana penyelidikan, dalam pada itu turut diperluaskan konsep penerbitan biografi kepada autobiografi, memoir, travelog dan hikayat lama berkaitan biografi di samping menjadikan karya biografi sebagai bacaan asas dalam Komponen Sastera (KOMSAS) pelajar sekolah menengah.
Resolusi PPBM juga menyarankan pihak tertentu mempromosi dan memperkenalkan penulis biografi dan karyanya, beri pengiktirafan atau anugerah malah mewujudkan program karyawan tamu di universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta perpustakaan-perpustakan negeri bagi tujuan memperbanyakkan penyelidikan, penulisan dan penerbitan biografi.
Namun demikian saranan yang dikemukakan oleh PPBM sehingga kini tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana berdepan dengan halangan-halangan tertentu. Cadangan menjadikan karya biografi bacaan KOMSAS patut disegerakan kerana pelaksanaannya tidak merumitkan mana-mana pihak, apatah lagi penerbitan karya biografi sekarang dilihat masih mekar dan segar. Begitu juga dengan program karyawan tamu di universiti, DBP dan perpustakaan-perpustakaan negeri boleh diwujudkan atas kuasa kementerian atau wewenang kerajaan negeri sahaja.
Sejarah
Penulisan biografi di negara ini bermula agak baharu berbanding dengan perkembangan yang berlaku di Eropah dan Amerika. Cerita-cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin atau Pak Kadok merupakan karya biografi walaupun kita mengenali kisah mereka sebagai karya sastera jenaka. Tulisan Abdullah Munsyi tentang kisah Nakhoda Muda juga dianggap sebagai karya biografi yang terawal di Malaysia. Kini perkembangan penerbitan biografi di negara ini agak sederhana namun diterima oleh masyarakat sebagai buku penting untuk dibaca, misalnya A Doctor in the House karya Tun Dr Mahathir Mohammad muncul salah sebuah memoir terlaris di samping Memoir on the Formation of Malaysia karya Tun Ghazali Shafei dirujuk sebagai bahan sejarah pembentukan Malaysia.
Justeru Baha Zain (Dewan Sastera, 2014) menyifatkan biografi adalah kisah pengalaman manusia sekali gus menjadi sejarah negara dari sudut cermin hati nurani bangsa. Beliau mengibaratkan biografi, autobiografi dan memoir merupakan sekeping susun suai gambar (jigsaw puzzle) untuk dicantumkan bagi memaparkan gambaran sejarah yang lebih besar.
Pandangan Baha Zain itu berpadanan dengan kepengarangan Sasterawan Negara Abdullah Hussain dengan membawa kisah hidupnya ke dalam beberapa buah novel biografi seperti Sebuah Perjalanan (1984), Perjalanan Mencari Bahasa (2001), Perjalanan Mencari Hikmah (2003) dan Perjalanan Mencari Diri (2004) di samping menghasilkan biografi P. Ramlee, Za’ba, Tun Mustapha dan Harun Aminurrashid yang diterbitkan oleh DBP.
Malahan sejarawan Malaysia seperti Dr Nik Anuar Nik Mahmud memulakan tren baharu dalam penulisan sejarah tanah air dengan menulis biografi tokoh-tokoh politik misalnya beliau menulis Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? yang menilai kembali peranan dan kedudukan Tok Janggut dalam sejarah tanah air (Roosfa Hashim:2016). Begitu juga penerbitan biografi Mat Indera: Pejuang atau Petualang karya Dr Muhamin Sulam (2012) yang mempertikaikan kesahihan fakta sejarah silam. Hal ini memperlihatkan bahawa penulisan biografi boleh dijadikan sumber baharu dalam pensejarahan semula Malaysia sebagai alternatif kepada pembelajaran dan pengajian sejarah tanah air yang bersumberkan tulisan sejarawan Barat.
Tren baharu yang ditunjukkan oleh Nik Anuar dapat merangsang penulisan semula sejarah Malaysia yang bersimpang siur dengan fakta dan data Barat yang kadangkala tidak mencerminkan patriotisme bangsa. Justeru tren itu seolah-olah mengajak sejarawan memulakan penulisan sejarah negara bertolak dari penerbitan biografi kerana pelakon atau pelaku sejarah adalah tokoh yang diperkatakan dalam buku biografi itu.
Dalam konteks ini memperlihatkan penerbitan biografi begitu penting dalam penyelidikan sejarah tanah air, umpamanya dengan membaca Leftenan Nor: Pahlawan Gerila karya Abdul Aziz Zakaria (DBP: 1959), kita dapat mengetahui tujuan, peranan serta penilaian tentang kewujudan pasukan Force 136 yang dibentuk oleh penjajah British bagi menentang kependudukan Jepun di Malaya.
Biografi, autobiografi, memoir dan prosopografi merupakan khazanah sesuatu bangsa yang merakamkan fakta dan peristiwa serta tindakan pelakon sejarah yang mengitari subjek. Jelas sekali antara biografi dan fakta sejarah saling bercampur di antara satu dengan yang lain di samping saling melengkapi susun suai gambar (jigsaw puzzle) untuk dicantumkan bagi memaparkan gambaran sejarah yang lebih besar. Justeru penerbitan biografi amat penting untuk merakamkan detik-detik sejarah sesebuah negara bangsa.
(Sinar Ahad, 28 Nov 2021)
Comments
Post a Comment