Karya Kembara Sastera
Kembara ialah satu perjalanan atau mengembara pergi ke mana-mana. Bertualang dan menjelajah juga tergolong dalam pengertian kembara manakala sastera pula adalah manifestasi artistik yang terasas dalam penggunaan kata pada bahasa tulisan atau lisan. Justeru, cantuman dua perkataan itu dengan sendirinya terbentuk istilah “kembara sastera” yang pada perspektif umum membawa makna suatu bentuk penulisan kreatif yang terhasil daripada pengalaman nyata pengarang yang menjejaki, melihat, merenungi dan menghayati sesuatu destinasi.
Namun begitu, rumusan ringkas ini turut menimbulkan persoalan hiliran iaitu terdapatkah perbezaan antara bentuk penulisan sastera kembara dengan penulisan laporan pengembaraan? Bagi menghalusi aspek itu Kamus Dewan (2005:731) menyatakan bahawa kembara ialah pergi ke mana-mana dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui, disebut juga bertualang, menjelajah dan mengembara.
Pengertian sastera pula diertikan sebagai pengunaan bahasa (bukan bahasa basahan) dalam karya seni berbentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu (Kamus Dewan, 2005:1396). Secara tuntasnya karya kembara sastera merupakan tulisan berbentuk prosa atau puisi yang memerihalkan pengembaraan ke sesuatu tempat dengan menggunakan bahasa baku (tinggi) serta menampilkan sesuatu perkara yang istimewa.
Di Malaysia terdapat beberapa buah buku bercorak kembara sastera yang penting dan popular dalam kalangan masyarakat sastera iaitu Warkah Eropah buah tangan Sasterawan Negara, A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991, Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin (Nisah Harun, ITBM: 2012) dan terbitan terkini berjudul Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair karya Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh (DBP: 2019).
Di Eropah pula antara buku kembara sastera tersohor ialah Journey To Portugal (Jose Saramago: 2000) dan Conquerors (Roger Crowley: 2015) manakala di Australia muncul The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) karya Meaghan Wison Anastasios. Banyak lagi naskhah berbentuk demikian di serata dunia, namun untuk tulisan ini memadai penulis mengemukakan ketiga-tiga buku tersebut sebagai rujukan dan cerminan. Asas kemunculan karya tersebut ialah pengembaraan. Namun begitu, walaupun pada hakikatnya karya itu lahir berasaskan pengembaraan tetapi perlu juga disertai pandangan pengarang terhadap ruang lingkup perjalanannya. Pandangan mereka rencam tetapi menjurus kepada hal ehwal pengembaraan.
Penulis menyifatkan karya kembara sastera yang lebih bermakna dan berkesan ialah karya yang menampilkan sesuatu keistimewaan yang dilihat, didengar dan dialami oleh pengarang semasa dalam tempoh pengembaraan. Misalnya, Ralph Waldo Emerson yang menyimpulkan bahawa kembara itu adalah “though we travel the world over to find the beautiful, we must carry it with us or we find it not.” Pandangan beliau itu selari pula dengan Muhammad Haji Salleh (2019:x) yang menyuarakan niatnya berkembara kerana mencari sesuatu. Katanya; “antara yang saya cari ialah seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya”.
Justeru karya kembara sastera itu bukan sekadar memaparkan episod kronologi kunjungan ke sesuatu lokasi sebagai pelancong tetapi perlu juga seperti Muhammad mencari “seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya” yang terdapat di lokasi kembara untuk disulami ke dalam sesuatu penulisan tersebut.
Selari juga dengan pandangan Jose Saramago bahawa “a book capable of offering a fresh way of looking, a new way of feeling. Jose Saramago ialah sasterawan Portugis dan pernah memenangi Nobel Prize of Literature pada tahun 1998. Novelnya Journey To Portugal telah diterjemahkan ke dalam 20 bahasa dunia dan beliau mengarang tidak hanya memaparkan cerita kenangan perjalanan yang dilalui tetapi menonjolkan sejarah dan budaya Portugis.
Malahan Meaghan Wilson Anastasios mengatakan The Pacific In The Wake of Captain Cook (2019) yang dihasilkannya adalah suatu kembara yang membongkar semula sejarah yang pernah dilalui Captain James Cook iaitu orang pertama yang belayar di lautan pasifik pada sekitar tahun 1768 lantas menjumpai benua Australia.
Menyedari hakikat ini, karya kembara sastera itu tidak hanya terhad kepada tema penggembaraan semata-mata tetapi menjauh dan melebar sehingga berfungsi menyelonggar sejarah silam sebagaimana kisah pelayaran Captain James Cook yang telah ditinggalkan zaman kira-kira 250 tahun dahulu.
Demikian juga Roger Crowley yang menulis Conquerors (2015) meletakkan sejarah sebagai tema karyanya yang menyangkut penerokaan laut dalam oleh pelayar Portugis bernama Vasco de Gama sehingga ke Timur Jauh (Far East) yang disebut sebagai Nusantara Melayu.
Novel Conquerors dipilih sebagai Sunday Times Book of the Year di London dan telah diulas oleh Michael Prodger dari Financial Times dengan menyebut bahawa Crowley has shown a rare gift for combining compelling narrative with lightly worn academic thoroughness ...The story he has to tell may be a thrilling one but not every historian could tell it so trillingly.
Novel Conquerors dipilih sebagai Sunday Times Book of the Year di London dan telah diulas oleh Michael Prodger dari Financial Times dengan menyebut bahawa Crowley has shown a rare gift for combining compelling narrative with lightly worn academic thoroughness ...The story he has to tell may be a thrilling one but not every historian could tell it so trillingly.
Pandangan Michael Prodger dapat diertikan bahawa penulis karya kembara sastera bukanlah seorang ahli sejarah namun begitu tidak bermakna dia tidak boleh menulis kisah sejarah dalam penggembaraannya, malahan nukilannya tentang sejarah seperti yang ditunjukkan oleh Crowley dalam Conquerors lebih mempesona dan mendebarkan pembaca. Justeru tema sejarah boleh sahaja dijadikan landasan penulisan karya kembara sastera dengan mengaitkan siri penggembaraan ke sesuatu tempat itu seperti yang telah dinukilkan Meaghan Wilson Anastasios dan Roger Crowley.
Laporan Penggembaraan
Jika kita akur dengan pandangan yang tersebut di atas, sudah tentu bentuk penulisan karya kembara sastera itu bukan laporan penggembaraan atau sekadar catatan travelog tetapi menampilkan sesuatu yang istimewa sebagaimana yang disebut Muhammad iaitu di dalamnya mesti hadir tentang seni dan sastera atau unsur-unsur sejarah serta tamadun manusia sebagaimana yang dinukilkan oleh pengarang Barat, Jose Saramago, Meaghan Wilson Anastasios dan Roger Crowley.
Oleh yang demikian, bukan mudah untuk menghasilkan karya kembara sastera, apatah lagi dalam bentuk buku yang perlu ditukangi dengan writing strategic yang memperlukan penyelidikan, rujukan serta pengamatan tinggi. Nisah Haji Haron dalam satu bengkel Intensif Seni Bercerita dalam Travelog (2015) ada menyebut rangka karya kembara sastera itu wajar dianyam dengan seni bercerita di antara fakta dan kreativiti, unsur-unsur dramatik, emosi serta pemikiran selaras apa yang penulis fahami sebagai writing strategic itu.
Ha-hal seperti seni bercerita, unsur dramatik, emosi dan pemikiran yang digaulkan dalam penulisan penggembaraan sudah memadai mengangkat sesuatu karya itu sebagai sebuah penghasilan dalam bentuk sastera dan bukan laporan penggembaraan atau catatan perjalanan. Justeru kehadiran hal-hal tersebut di atas dalam sesuatu penulisan merupakan sempadan pemisah yang dapat membezakan antara karya kembara sastera dengan laporan penggembaraan atau catatan perjalanan.
Penutup
Karya kembara sastera kian popular dalam kalangan penulis sekarang kerana mereka berkesempatan berkelana atau melancong ke mana-mana sahaja di dunia sekali gus hal ini mendedahkan mereka pengalaman baharu yang perlu ditulis sama ada dalam bentuk prosa mahu pun kreatif. Namun begitu, bagi menyemarakkan perkembangannya, badan tertentu harus menganjurkan sayembara mengarang karya kembara sastera sekali gus dapat menokok khazanah yang sedia ada.
Bibliografi
Jose Saramago (2000). Journey To Portugal. London: The Harvill Press
Meaghan Wilson Anastasios (2019).The Pacific in The Wake of Captain Cook. Sydney,
Australia: Harper Collins Publisher
Muhammad Haji Salleh (2019). Kembara Mencari Sempadan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Roger Crowley (2015). Conquerors How Portugal Forged The First Global Empire. London: Faber & Faber Limited Bloomsbury House
Roger Crowley (2015). Conquerors How Portugal Forged The First Global Empire. London: Faber & Faber Limited Bloomsbury House
(Sinar Ahad, 25 Julai 2021)
Comments
Post a Comment